Artikel Kami

Ummah Fadhilah & Peranan Individu

Ummah Fadhilah & Peranan Individu


Tema “Bersama-sama membangunkan Peradaban” kini menjadi kerangka baru perjalanan Ikatan Muslimin Malaysia untuk fasa seterusnya, bagi melihat Negara tercinta mencapai status Malaysia Unggul 2040 (MU2040). Ia adalah sebuah impian untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang kuat, maju dan berdaulat.

Bagi mencapai maksud tersebut, negara memerlukan sebuah kelompok ummah yang juga kuat, maju dan dan berdaulat – ummah fadhilah. Hasrat ini harus dipikul bersama bermula dengan pembangunan individu dalam setiap komuniti, meliputi segenap lapisan masyarakat.

Bermatlamatkan membina sebuah komuniti yang kuat, maju dan berdaulat pula, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi tumpuan oleh setiap individu.

CIRI-CIRI INDIVIDU

Pertama sekali, setiap individu haruslah memiliki semangat kebangsaan yang tinggi. Setiap orang perlu memahami bahawa kejayaan dan kegemilangan sebuah negara tidak dapat dicapai secara sendiri-sendiri. Sebaliknya, ia memerlukan sokongan dan kerjasama dari setiap individu dalam komuniti. Individu-individu inilah pula yang menggerakkan institusi-institusi sosial dalam masyarakat seperti masjid, kelab, pertubuhan, persatuan penduduk dan sebagainya untuk mencapai satu misi dan visi yang sama – ummah fadhilah.

Kedua, pendidikan merupakan aspek yang sangat penting dalam pembangunan sebuah komuniti yang kuat dan bersifat perintis kepada kemajuan. Kita perlu memastikan bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai akses kepada pendidikan yang berkualiti dan seimbang daripada semua sudut. Pendidikan juga memainkan peranan penting dalam membentuk minda pemikiran dan jiwa setiap individu, yang melahirkan komuniti yang bermaruah dan izzah dalam membangunkan peradaban Islam.

Ketiga, setiap individu haruslah mempunyai kemahiran dan kecekapan yang tinggi dalam bidang yang dipilih. Kemahiran dan kecekapan adalah kunci kepada kejayaan dalam kehidupan, malah membolehkan sebuah komuniti dapat dibangunkan secara mandiri tanpa kebergantungan kepada orang luar. Oleh itu, setiap individu haruslah berusaha untuk terus meningkatkan kemahiran dan kecekapan mereka agar dapat memberikan sumbangan terbaik dalam pembinaan Malaysia Unggul.

Keempat, semangat kerjasama dan saling membantu perlu ditanamkan dalam setiap individu. Sebagai sebuah ummah, kita haruslah bersatu padu dan membantu satu sama lain dalam membangunkan komuniti. Ciri ini penting dalam melahirkan komuniti yang bersatu padu dan bermuafakat membina kekuatan menegakkan kebenaran.

Terakhir, setiap individu perlu menjunjung tinggi nilai-nilai yang digariskan oleh agama dalam segala aspek kehidupan, dan bukan tertakluk hanya dalam aktiviti keagamaan (ritual) semata-mata. Nilai berdasarkan neraca Ilahi inilah yang membentuk sebuah komuniti qudwah yang boleh mempengaruhi secara kelompok ahli-ahli komuniti untuk sama-sama kembali menerapkan penghayatan dalam kehidupan mereka.

Secara keseluruhannya, membina sebuah komuniti yang kuat, maju dan berdaulat adalah tanggungjawab bersama setiap individu. Dalam mencapai matlamat ini, kita perlu bersatu padu dan berkerja keras untuk memastikan bahawa Malaysia terus maju ke hadapan. Oleh itu, mari kita jadikan matlamat untuk membina sebuah ummah yang kuat, maju dan berdaulat sebagai aspirasi kita bersama.

Negara kita, komuniti kita, tanggungjawab kita.

Hazwan AB Halim
Ketua Biro Pembangunan Komuniti
Aktivis ISMA Shah Alam

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *