Artikel Kami

Puasa dan Kuasa Air Liur

Puasa dan Kuasa Air Liur


Air liur adalah satu topik yang agak menarik untuk diselami, lagi-lagi bila tengahari terik Ramadhan, diuji pula terlihat resepi air sedap membasahkan tekak di media sosial.

Tahukah anda, Allah swt Maha Bijak, menciptakan air liur sebagai “buffering system” kepada rongga mulut agar menjadi pelindung kepada gigi dan semua struktur yang terdapat di dalam mulut?

Bagaimana? Ia berfungsi bukan sekadar membasahkan permukaan mulut, atau pun sekadar memudahkan proses menelan ketika waktu makan Dale’ Karsyak, KFC, McD spicy chicken.. tetapi, ia amat penting untuk mengawal kestabilan pH. Kestabilah pH ini lah yang akan mempengaruhi proses ‘demineralization’ atau ‘remineralization’ permukaan gigi yang diperbuat daripada hydroxyapatite. Terlebih asidik, permukaan gigi akan terurai. Kurang asidik, permukaan gigi akan kekal.

Mustahil lah untuk kekalkan pH 7 dan ke atas dalam mulut sentiasa dan sepanjang masa, betul?

Dah berpuasa satu hari penuh, terhidang depan mata dengan nasi maqlubah, mendy, madhghut, mansaf, kabsah berlaukkan kambing dan bermacam lagi hidangan.. Haaa, semua itu menyebabkan pH dalam mulut jatuh menjadi asidik. Dalam tempoh 30 minit hingga ke 1 jam selepas makan, baru lah air liur mengeluarkan kuasanya (bicarbonate ion-weak base) meneutralkan pH tadi. Itu pun kalau tak ditala lagi dengan moreh Syai binna’na’ dikacau pula dengan gula 3 sudu, ataupun kunafah manis dibeli dari Starhill. Lagi kerap kita mengambil makanan, lagi pendek jarak masa antara hidangan utama, lagi kerap lah keadaan mulut terdedah kepada ‘acid challenge’ yang menjatuhkan pH tadi.


Nah. Di sinilah puasa berfungsi membetulkan semula fungsi badan kita. Maha bijaksana Allah yang mengetahui setiap inci diri kita.

Di sini lah juga hikmah tabiat Ar-Rasul saw yang suka berkumur dan bersugi setiap sebelum solat, demi menjaga kebersihan mulut yang sangat kerap digunakan.

Penjarakan tempoh makan memberi manfaat kepada kesihatan mulut dengan memberi waktu kepada air liur melaksanakan tugas ‘buffering system’ tadi. Ini belum kita bincang topik air liur juga mengandungi fluoride ion (F-) yang sangat bagus untuk mengukuhkan struktur permukaan gigi. Rajin berus gigi menggunakan ubat gigi berfluorida, lagi bagus. Tambah lagi kesan baik, sebab permukaan hydroxyapetite gigi yang sebelum ini telah bertukar menjadi fluoroapetite yang lebih kukuh, yang mana ia juga merendahkan threshold paras kritikal pH dari 5.5 kepada 4.5. Ini adalah sesuatu yang bagus sebab ia bermaksud, hanya asid yang lebih kuat diperlukan untuk merosakkan gigi. Asid lemah akan lebih mudah ditepis begitu saja 🙂

Semua ini telah diterangkan di dalam teori Stephan Curve yang telah ditemukan ideanya oleh Robert Stephan pada tahun 1943. (Entah-entah ini adalah idea saintis Muslim dari era sebelumnya? Wallahua’lam). Teori ini menerangkan tentang kejatuhan pH di bawah paras 5.5 selepas pengambilan makanan.

 

Penutup

Hikmah itu adalah barang yang hilang milik orang mukmin, barangsiapa yang menemuinya, maka dia lebih berhak ke atasnya. Ambil lah peluang Ramadhan ini semaksimanya untuk koreksi diri kita secara fizikal, emosi, mental dan rohani. Semoga ada rezeki bertemu dengan malam Al Qadr, In shaa Allah.

Jumpa lagi dalam episod seterusnya!

****

P/s: Artikel ini hanya bertujuan untuk memberikan pengetahuan am terhadap kesihatan pergigian. Sebaik-baiknya, rujuklah doktor gigi di premis kesihatan berdekatan jika anda ada masalah.

*Gambar ihsan Google/Youtube

 

Dr Nabilah MY

Ketua Biro Media & Komunikasi

Aktivis ISMA Shah Alam

8 Ramadhan 1444H

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *