Artikel Kami

Kelebihan & Keutamaan 10 Awal Zulhijjah

Kelebihan & Keutamaan 10 Awal Zulhijjah

10 hari pada Awal Zulhijjah mempunyai kelebihan dan keutamaan tersendiri. Al Bukhari meriwayatkan hadis daripada Ibnu Abbas R.A Nabi SAW bersabda 

“ Tiada hari hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari hari terawal Zulhijjah.” Para sahabat bertanya “Wahai Rasulullah, walaupun berjihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda “walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya kemudian langsung tidak kembali”

Hadis ini menjadi dalil kepada kelebihan beramal di 10 hari awal Zulhijjah. Amalan pada 10 hari ini menjadi afdhal dan lebih disukai oleh Allah. Amalan yang kurang utama yang dikerjakan dalam tempoh 10 awal Zulhijjah ini akan diberikan kelebihan seperti amalan yang lebih utama yang dikerjakan dalam masa selainnya.

Ulama berbeza pendapat tentang adakah 10 hari terakhir Ramadhan lebih utama daripada 10 hari awal zulhijjah. Kesimpulan yang boleh diambil adalah 10 hari awal zulhijjah lebih utama pada siangnya berbanding siang 10 hari terakhir Ramadhan manakala 10 hari terakhir Ramadhan pada malamnya lebih utama dari malam 10 hari awal Zulhijah kerana terdapatnya malam LailatulQadar. 

Dengan keutamaan ini Nabi SAW menganjurkan kita memperbanyakkan amalan soleh. Amalan soleh yang dianjurkan antaranya adalah berpuasa di siang hari, beribadah di malam hari iaitu qiamullail, memperbanyakkan solat sunat, berbuat baik kepada ibubapa, memperbanyakkan zikir, bacaan Quran dan membantu orang yang susah. 

Selain itu juga dianjurkan sunat bagi yang melaksanakan ibadah Qurban untuk tidak memotong kuku, mencabut dan mencukur rambut dan bulu bermula dari 1 Zulhijjah sehingga disembelih haiwan korban. 

Pada Hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah amalan wukuf di padang Arafah ketika itu yang menjadi rukun dalam ibadah Haji, disunnahkan berpuasa dan memperbanyakkan berdoa kepada Allah. Nabi SAW bersabda 

“ Tidak ada hari dimana Allah membebaskan hamba dari Neraka lebih banyak dari Hari Arafah dan sungguh Dia mendekat lalu membanggakan mereka didepan para Malaikat dan berkata “Apa yang mereka inginkan?” (Hadis Riwayat Muslim) 

Wajarlah kita mengambil kesempatan dan peluang di 10 hari awal Zulhijjah ini mendekatkan diri kepada Allah SWT semoga dengannya kita menjadi hamba yang dicintaiNya.

 

 

Nor Atiqah Jamil,

Aktivis ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *