Artikel Kami

Apa Erti Merdeka Bagi Kita?

Apa Erti Merdeka Bagi Kita?

Kemerdekaan merupakan sesuatu yang bermakna bagi sesebuah negara, bangsa mahupun individu. Ia mewakili sifat pengorbanan dan perjuangan yang bersungguh-sungguh daripada generasi sebelumnya demi mencapai kebebasan daripada penjajah.

Alhamdulillah 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat buat Malaysia bebas daripada pihak penjajah yang telah pun menjajah negara kita secara berperingkat selama 446 tahun. Kemerdekaan ini bukan hanya sekadar pemberian hak politik, tetapi ia juga merupakan pengukuh identiti dan jati diri orang Melayu yang kaya dengan warisan budaya, sejarah dan nilai-nilai murni.

KEHEBATAN BANGSA MELAYU DALAM LIPATAN SEJARAH

Bangsa Melayu suatu ketika dahulu adalah bangsa yang sangat dihormati, disegani dan masyhur di persada dunia. Ketamadunan Melayu ketika itu sangat hebat dan gilang-gemilang. Nenek moyang kita dahulu mampu menguruskan sebuah empayar yang sangat besar dan mempunyai pelabuhan antarabangsa paling strategik dan terkaya di dunia.

WARISAN SENI BINA MELAYU MEMAHAT IDENTITI BANGSA & AGAMA

Setiap seni bina rumah Melayu mempunyai perlambangan dan identiti yang tersendiri. Sebagai contoh, orang Melayu sangat menitik beratkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian sehingga  rumah turut didirikan mengikut arah kiblat dan juga terdapat ruang antara kaum lelaki dan perempuan dipisahkan. Ini menunjukkan masyarakat Melayu amat mementingkan nilai-nilai murni sehingga menjadikan orang Melayu dipandang tinggi kerana kaya dengan kehalusan budi pekerti.

Malangnya, identiti dan jati diri yang sekian lama berada dalam diri orang Melayu kian terhakis sedikit demi sedikit dek perubahan zaman. Generasi sekarang lebih mengagungkan budaya Barat dan mengenepikan budaya Timur yang sudah pun diterapkan oleh nenek moyang kita dahulu. 

Perjuangan memulihkan jati diri bangsa dan agama perlu digencarkan oleh generasi kini daripada pelbagai aspek. Harapan untuk mengembalikan kegemilangan tamadun Melayu-Islam masih ada selagimana bangsa Melayu merasakan kepentingan untuk menggalas perjuangan tersebut.

 

 

Halimazaitul Azna bt Abdul Halim

Aktivis ISMA Shah

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *