Artikel Kami

Maulidur Rasul : Cintakan Baginda Tiada Galang Gantinya!

Maulidur Rasul : Cintakan Baginda Tiada Galang Gantinya!

Tarikh ulangtahun Nabi saw tiba lagi menandakan generasi kita semakin jauh dari generasi Nabi. Akan tetapi, walau berbeza masa dan kurun, kecintaan kepada Rasulullah adalah sesuatu yang malar hijau, tak dapat digoyah walaupun dengan gantian harta, kekasih lain, mahupun keinginan dunia seluruhnya.

Tercatat dalam sirah, Peperangan Hunain telah disertai oleh 12,000 orang. Kira-kira 10,000 orang adalah yang bersama Rasulullah dari Madinah dan terlibat dalam pembukaan Mekah. Mereka terdiri dari Muhajirin, Ansor dan kabilah-kabilah yang berjiran dengan Madinah.

Manakala 2000 lagi adalah mereka yang baru memeluk Islam setelah pembukaan Kota Mekah. Kebanyakannya hidayah belum bertapak kukuh dalam hati mereka.

Dalam angkatan ini terdapat 2 golongan iaitu mereka yang benar-benar beriman dan golongan yang lemah dan kurang pegangan agama.

Dipendekkan cerita pada permulaan peperangan, pihak Islam telah kalah. Tetapi dengan izin Allah, Allah meneguhkan Rasulullah dan para pengikutnya dengan PertolonganNya, dan akhirnya pihak Islam menang dalam peperangan ini.

 

PEMBAHAGIAN HARTA GHANIMAH

Suatu yang amat mengusik jiwa saya adalah setelah selesai peperangan, Rasulullah s.a.w telah membahagikan harta rampasan perang kepada pemuka-pemuka arab iaitu orang Quraisy yang baru memeluk islam. Orang Ansar tidak mendapat apa- apa pun. Maka lahirlah perasaan sedih di kalangan Ansar, mereka berkata-kata sesama sendiri seolah-olah baginda telah bertemu kaum baginda dan melupakan kaum Ansar.  Rasulullah s.a.w mengetahui hal ini dan mengumpulkan semua Ansar dan berucap : 

“Wahai kaum Ansor! Aku telah mendengar kata-katamu. Ia mengandungi celaaan kepadaku. Bukankah kamu sebelumnya sesat, lalu Allah memberi petunjuk kepada kamu? Miskin, lalu Allah menjadikan kamu kaya? Saling bermusuhan , lalu Allah pertautkan hati-hati kamu?

Mereka menjawab: “Benar, Allah dan Rasul lebih berjasa dan lebih berbakti.” Kemudian baginda bersabda lagi. “Wahai kaum Ansor , demi Allah jika kamu mahu, kamu boleh menjawab, Kamu wahai Rasulullah datang kepada kami dalam keadaan kamu didustai kaummu, lalu kami yang mempercayai kamu. Terbiar tanpa pertolongan, lalu kami yang menolongmu. Diusir, lalu kami membelamu. Serba kekurangan, lalu kami kongsikan harta denganmu.

Wahai kaum Ansor, adakah diri kamu merasa tidak puas hati terhadap sisa-sisa dunia yang aku gunakan untuk menarik minat kaum tersebut agar memeluk islam? Sedangkan aku serahkan kamu kepada keislaman kamu. Wahai kaum Ansor, tidakkah kamu redha orang ramai kembali bersama kambing dan unta, sedangkan kamu pulang kepada tunggangan kamu bersama Rasulullah? Demi Tuhan yang jiwa Muhammad di dalam genggamanNya, jika bukan kerana Hijrah, nescaya aku Ansor. Sekiranya orang ramai melalui satu lorong di bukit, sedangkan Ansor melalui lorong yang lain, nescaya aku melalui lorong yang dilalui Ansor. Ya Allah, rahmatilah Ansor, anak-anak dan cucu-cucu Ansor” 

Maka kaum Ansor menangis sehingga janggut-janggut basah dan berkata : ” Kami redha dengan pembahagian dan habuan yang dilakukan oleh Rasulullah.”

(Petikan dari buku Sirah Muhammad s.a.w Pengajaran & Pedoman, karya Dr. Mustafa as-Syibaie, Terbitan Pustaka Salam)

Peristiwa ini amat memberi pengajaran dan kesan mendalam pada diri ini. Tingginya nilai kecintaan kepada Allah dan Rasul itu sama sekali tidak dapat ditukarkan dengan harta setinggi gunung sekalipun.

Betapa sayang dan rindunya kita kepada Rasul atas pengorbanan dan perjuangan baginda menyampaikan Risalah Islam. Moga kita juga seperti kaum Ansar yang sentiasa membela dan bersama Nabi s.a.w.

 

Salam Maulidur Rasul, 

Aini binti Said 

Ketua Wanita ISMA Shah Alam

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *