Artikel Kami

Ramadhan : Peluang Lagi!

Ramadhan : Peluang Lagi!

Segala puji bagi Allah, yang setinggi-tingginya rasa syukur kepada-Nya kerana masih membolehkan diri ini menyambut Ramadhan al-Mubarak. Semoga kita semua mampu menjadikan Ramadhan kali ini lebih bermakna, sebagai bulan yang penuh dengan tarbiyah untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah. 

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah, 2:183)

Betapa indahnya bagi jiwa yang beriman mendengar ayat tersebut, menanti-nantikan kedatangan Ramadhan dengan hati yang penuh khusyuk dan tawadhuk. Bulan mulia yang begitu dinantikan, penuh dengan berkat. Hati-hati mukmin sentiasa merintih, “Ya Allah, sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.” Jiwa yang peka akan merasakan keistimewaan Ramadhan dan sentiasa merindukannya, kerana inilah masanya untuk menambah ketaatan kepada Allah, dengan komitmen yang berterusan. Ramadhan yang penuh berkat patut kita jadikan sebagai peluang untuk menyelamatkan masyarakat dengan mendekatkan diri kepada Allah melalui pelbagai ibadah.

Allah menjadikan Islam sebagai rahmat bagi alam semesta, menghendaki umat Islam menjadi umat yang terbaik, yang memimpin dunia dan menjadi saksi bagi seluruh umat manusia. Oleh itu, Allah menyediakan umat Islam agar layak menjadi umat terbaik. Kunci utamanya terletak pada ketaqwaan, yang telah dimiliki oleh generasi-generasi terdahulu yang pernah menguasai dua pertiga dunia pada masa kegemilangan Islam.

Maka, Ramadhan hadir di tengah-tengah kita untuk menjadikan umat Islam sebagai umat terbaik yang layak memimpin dunia. Oleh itu, mari kita fahami puasa di bulan Ramadhan sebagaimana yang diharapkan oleh Allah SWT agar kita menjadi produk yang benar-benar terbaik dan berkualiti:

 

Bulan pengawalan diri; 

Puasa adalah ibadah yang melibatkan keimanan seseorang. Ia adalah hubungan antara kita dan Allah. Puasa adalah ibadah rahsia, di mana kita boleh berpura-pura berpuasa tetapi Allah mengetahui kebenarannya. Selama berpuasa, kita mengawal diri dari melakukan perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa. Ini adalah cara terbaik untuk mengekang hawa nafsu dan memperoleh pengawalan diri yang tinggi. Puasa mengajar kita untuk memiliki kontrol diri yang tinggi, sedangkan kita tahu hanya Allah yang mengetahuinya.

“Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya. Maka Dia Mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya. Sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu).Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.” [As Syams:7-10]

Keobsesan kepada akhirat; 

Puasa mendorong kita untuk lebih memikirkan tentang akhirat. Ramai yang memperbanyak amalan baik di bulan Ramadhan, menunjukkan kecenderungan untuk melebihkan kepentingan akhirat daripada dunia. Kita harus gunakan Ramadhan sebagai peluang untuk mencapai kebahagiaan abadi di akhirat, bukan hanya memperoleh kebahagiaan sementara di dunia.

“Dan di antara mereka ada yang berdoa: ‘Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari siksa neraka.'” (Surah Al-Baqarah, 2:201)

Dan tiadalah kehidupan dunia ini selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidaklah kamu memahaminya!” (Al’Anam 32)

 

Kesedaran sosial;

Puasa melahirkan insan yang peka terhadap keadaan sosial umat Islam di seluruh dunia. Kita menjadi lebih peka terhadap pelbagai isu, termasuk kejahatan yang dilakukan oleh Israel ke atas umat Islam di Palestin. Kita peka dengan segala kesusahan dan berasa ingin sentiasa berada di hadapan dalam membantu saudara-saudara kita. Hanya hati yang dekat kepada Allah yang layak menerima bantuan-Nya dan memimpin dunia dengan baik.

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah   dan janganlah kamu sekalian berpecah belah, dan ingatlah nikmat Allah atas kamu semua ketika kamu bermusuh-musuhan maka Dia (Allah) menjinakkan antara hati-hati kamu  maka kamu menjadi bersaudara sedangkan kamu diatas tepi jurang api neraka, maka Allah mendamaikan antara hati kamu. Demikianlah Allah mengingatkan kita akan hal kesatuan dan solidariti yang terkait dengan ibadah.

Ramadhan 1445H, ruang koreksi diri dan masyarakat.

 

Hazwan Abd Halim,

Aktivis ISMA Shah Alam

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *